Sunday, November 28, 2010

Nanti Jawab Pokok, Angin nan Goncang

#1
Saudara aku dari Batu Pahat datang. Fatimah, keluarganya dan anak buahnya Ika. 90% perjalanan Fatimah call aku.
Fatimah: Bang, kami kat Ijok ni, camne nak terus sampai umah abang ni?
Aku: (Aku sungguh lemah bab-bab jalan ni walaupun daerah aku sendiri) Errr, adik cmni, cuba tanye orang macam mane nak p Unisel.
(Dan dia balas dengan suara yang sangaaaat lemah lembut).
Fatimah: Abangggggg, kalau adik call abang, pastu abang suruh tanya orang, takde gunenye bang, awal-awal adik bole tanye sendiri ...
Aku: Hahaha okeh sori sori haha

#2
Aku dan rakan-rakan pejabat berbengkel lagi di sebuah hotel. Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Sedang kami berbincang, Taib dari kumpulan lain singgah bertanya.
Saya, saya nak pergi SPA, sini kat mane ye? tanya Taib. Dan dijawab spontan oleh seorang ahli grup kami. "Kau naik lif, turun kat lobi, kau nampak kaunter, kau nampak banyak orang kan, haaa,  kau tanya dia."

#3
Pesan orang tua adakalanya tak boleh pakai juga. 'Malu bertanya sesat jalan'. Sebab sekarang dah ada GPS, malu macam mana pun, kalau dia ada GPS, pasti dia tak sesatkan? Nasib baik tak ada orang tua sebelah aku, kalau tidak, awal-awal lagi aku dah kena tempeleng.

Thursday, November 25, 2010

Kerana Diriku Begitu Berharga

#1
Aku ada show di sebuah IPTA. Soundcheck malam itu agak lewat. Jam 11.30 pm, aku menawarkan diri untuk membelikan nasi bungkus. Aku pergi bersama-sama Wan dan Soyat. Aku duduk sebelah pemandu. Setelah beberapa pusingan tidak berjumpa kedai, Yat mencadangkan aku bertanya kepada dua gadis yang sedang menunggang motorsikal. Aku mengeluarkan kepala setelah Yat menurunkan tingkap kereta ... "Adik, kat ma .... " tak sempat aku tanya, gadis tersebut terus pecut laju. Cihhhh! Mentang-mentanglah rambut aku tengah mengerbang.

#2
Aku goreng ikan bilis sambil basuh cawan. Sungguh, aku lupa itu ialah ikan bilis. Kesian ikan bilis itu pergi dalam suasana kejam.

#3
Kasut boot Pakalolo aku sudah hampir 4 tahun. Sampai aku digelar seniman jalanan. Aku pergi Kompleks Pertama dengan Harris dan Chik's. Memang tabiat aku suka pakai terus yang baru dan tinggalkan yang lama di kedai. Dan selepas itu Harris dan Chik's tak henti-henti ajak aku singgah dari satu kedai ke satu kedai. Apabila nak balik baru dia beritahu. "Hoi bodoh, tag kasut tu tak bukak lagi." Celaka dorang!

Kisah #4 hingga #8 akan disambung kemudian. Harap maklum. Sila singgah selalu haha.

Saturday, November 20, 2010

Aku yang Lupa Diri

#1
Aku makan roti kacang sambil buat kerja, aku bangun sebentar mahu cari pembaris. Sudah jumpa. Lepas itu aku lupa di mana aku letak roti tadi. Aku bangun lagi sekali untuk cari roti tadi. Sudah jumpa. Sekarang aku lupa di mana aku letak pembaris tadi.

#2
Aku nak beli barang dapur. Pergi kedai mamak. Kalau lima yang kakak aku pesan, biasanya hanya tiga yang betul. Maka hari itu aku tulis senarai. Dan. Bila sampai kedai, kertas itu aku lupa letak di mana.

#3
Aku lupa lagi tertinggal barang di pejabat kawanku. Aku hubungi dia supaya tinggalkan barang itu di surau sebab aku akan ke situ sebentar lagi. Aku pergi surau. Dan. Selepas itu aku tinggalkan pula barang itu di surau.

#4
Aku sampai rumah malam. Cek akaun. Luak. Sedangkan aku tak singgah berbelanja di mana-mana. Aku segera hubungi hotline maybank2u. Kenapa akaun aku susut tiba-tiba. Operator tersebut menerangkan langkah-langkah yang perlu aku ambil. Rupanya petang tadi di pejabat aku topup kredit pakai maybank2u.

#5
Dulu Safarin satu pejabat dengan aku. Safarin call aku subuh-subuh. "Jang, hari ni ko naik moto ye, aku tumpang bole? Bawak helmet dua tau." Dan siang hari itu memang aku bawa dua helmet, tapi aku lupa nak angkut si Safarin. Patutlah sepanjang perjalanan tadi handphone aku asyik berbunyi.

#6
Aku selalu hilang pendrive. Aku selalu lupa di mana aku letak/simpan. Aku dengar nasihat kawan. Berikan keychain atau pun apa-apa yang melekat bersama pendrive. Dan esoknya, pendrive aku tetap hilang.

Friday, November 19, 2010

Cita-cita Aku Lawyer

#1
Ketinggian aku 5'11". Aku keluar pintu kaki tersadung bendul, Zamani sudah gelakkan aku, "Tu la panjang sangat, kepala dah lepas, kaki sangkut hahaha."

#2
Bob dengan serius cerita pasal bola. "Malaysia lawan China main tak best la, tak solid macam lawan Korea." Aku menyampuk, "Kalau metalic camne pulak Bob?" Bob makin kuat sedut asap.

#3
Aku satu lif dengan budak baru. Aku tegur.
Aku: Staf baru ke?
Dia: Ye Bang, sambilan.
Aku: Owh kira Abang lagi best la.
Dia: Nape lak?
Aku: Abang sambil lewa.
(Nasib baik dia gelak)

#4
Kebanyakan rakan sekerja aku celik 24 jam. Satu hari aku buat projek dengan orang di luar lingkungan itu. Aku sms dia untuk bertanyakan satu hal penting. Dia balas "Pukul 3 pagi bro, kau ingat aku duduk Amerika ke."

#5
Aku berbincang dengan Man tentang Projek membuat kostum Maskot.
Man: Huh payah nak buat tu Jang, makan masa nak siap tu.
Aku: Okeh, 'masa' kau makan, aku makan payment je.

Wednesday, November 17, 2010

Aku & November

Kanvas untuk mak menteri tanda tangan.
Salah satu dari 12 gegantung yang
kerajaan aku siapkan.
Krew yang mengira setiap kali dia staple
 dan berapa belon yang dia tiup haha.
Standard la aku tidur dan makan di mana
kaki terhenti. Masih awal baru 2 pagi rasanya.
Jam session untuk show 12/12/12 di KDE
dan 25/12/12 malam wartawan.
Banner Aidiladha untuk masjid kampung aku.
Latar pentas untuk HSPM ke-19, 25' x 12'.
Ini design yang rejected, tapi aku lebih
suka yang ini.
Bilik aku berangan.
Kira bulan November tak sempatlah aku nak layan blues. Awal bulan lagi aku sudah sibuk dengan majlis "Kawanku Buku" di DBP. Aku dapat projek untuk sediakan segala banner dan hiasan pentas. Penat. Nasib baik ada rakan-rakan yang setia membantu ("habis kau ingat aku tolong kosong je ke?" <-- ayat maut Che Mat hahaha). Serentak dengan latihan band lagi. Dan. Kerja-kerja kampung lagi. Aduh. Tapi best. Haha. Entry ini khas untuk band aku yang lagi satu, sebab membatalkan jamming di saat-saat akhir. Aku ingat lagi ayat Antu di talian, "Kau cakap senin, kau dah beri aku harapan, kau permainkan aku jang, aku tau aku tak boleh memberi masa depan yang cerah buat kau jang, takpe jang," ... (aku sambut dengan kekekan hahaha tak guna punya Antu, betul-betul buat aku rasa bersalah). Ampun ya Antu and The Gang.

Sunday, November 14, 2010

Rockstar


Cuma ada dua. Ya, cuma Ajis dan Ayep. Bukan sekali dua mereka berfikir tentang itu, rasanya sudah lebih 10 kali. Baru sebentar tadi ketika sedang melepas pun Ayep fikirkan tentang itu. Begitu juga Ajis, baru juga dijerkah oleh emaknya kerana menuang air basuh tangan ke dalam pinggan abahnya selepas abahnya menyuruh dia mengambilkan kari. Ini bukan angan-angan menyelamatkan Nana (makwe kelas sebelah) daripada rasaksa lagi, ini betul-betul, ini hidup dan mati! Ajis dan Ayep perlukan duit. Apabila berharta, pasti dipandang tinggi oleh kawan-kawan.

Sebelum ini Nanang dan Pie sudah berjaya, mereka berdua. Gemuk dan Akai pun sudah berjaya, juga berdua. Ajis percaya, ini hari mereka berdua pula. Ajis percaya, berdua lebih baik. Ayep pun percaya juga. Ini kali kedua mereka mencuba, cubaan pertama gagal setelah Ayep terbersin, umur mereka panjang, lastikan Pak Abu tersasar.

Inilah masanya. Ajis menunggu di tepi jalan masuk ke rumah Pak Abu, di bawah pohon pisang (mungkin itulah hantu pisang yang sibuk dikatakan Haji Dollah yang pastinya kumpulan terdahulu Akai dan Gemuk). Tugas Ajis mudah, cuma memerhati dari jauh Pak Abu ada ke tiada. Tugas Ayep payah, merangkak, menyusup ke bawah rumah Pak Abu, nak curi racun, racun mahal kalau dijual. Dapat 50 ringgit sudah cukup kaya ketika itu.

Ajis mula berangan-angan dengan kekayaan 50 ringgit. Dia nak beli kasut Aliph, barulah boleh jadi Rockstar! Ayep pula rasanya akan beli tali pinggang peluru yang SYJ pakai. Barulah gempak kalau turun pekan. Mesti ramai yang akan terlopong dan memanggil namanya Ajis Ajis Ajis ... "Ajis, keluar Jis, aku dah kene tangkap." Dan ketika Pak Abu sibuk mencari Ajis, Ajis sudah berada dalam lori pisang melarikan diri. Impian untuk menjadi Rockstar kian berbalam.

Saturday, November 13, 2010

Pinjam

Meminjam kata-kata adik Nisha ...
"Sometimes we need silence to make a good sound."

Sunday, November 7, 2010

Suka


Suka, kau hilang
payah, kau datang.

Hujan, kau singgah
panas, kau terbang.

Gelap, kau buka
Terang, tertutup mata.

Pasti, suka kau datang
mungkin, kau lebih suka pergi.

Friday, November 5, 2010

3 Batu

Sebuah kisah misteri, mungkin akan masuk Mastika. Berlaku satu ketika dahulu di sebuah daerah. Abang Ramdan membuka cerita, kisah seorang isteri yang curang. Aduh, kasihan suami yang tiada tanding setianya mencurahkan kasih sayang untuk si isteri. Suami yang mulia itu akhirnya diduga lagi, mungkin kerana terlalu memendam rasa, akhirnya ditimpa penyakit misteri. Hinggalah di saat akhir hayatnya, si isteri yang derhaka terus tidak memperdulikan suaminya. Hanya satu permintaan suami, mahu bersama buat kali terakhir. Apalah malang, jangankan disambut, malah diherdik dicaci yang dapat. Akhirnya pergilah suami itu mengadap Illahi dengan keinginan yang tertangguh. Maka diceritakan orang akan kisah mayat suami yang jujur tadi. 'Anu'nya tegak tidak juga mahu turun! Joe: Abistu, ada tiga la batu nesan dia ye? (celake punye Joe, aku baru nak menghayati cerita).